Tuesday, November 17, 2009

Rahsia Sembahyang Dan Keutamaannya

Aku solat tapi masih melakukan maksiat....

Aku solat tapi fikiran ku masih merewang hal2 keduniaan...

Aku solat tapi solatku masih tak berbekas dalam hatiku...

Mengapa?


Moga bermanfaat buat kita semua....


sumber : Kitab Rahsia Sembahyang Dan Keutamaanya Hajjatul Islam Al Imam Al Ghazali

Syarat-syarat keistimewaan sembahyang

Syarat-syarat yang menjadikan sesuatu sembahyang itu istimewa dari segi kebatinannya banyak sekali, tetapi bolehlah disimpulkan kepada enam perkara:

(1) Kehadiran hati dalam sembahyang.

(2) Mengerti bacaan-bacaan sembahyang.

(3) Membesarkan Allah dalam sembahyang.

(4) Merasakan kehebatan Allah dalam sembahyang.

(5) Penuh harapan.

(6) Perasaan malu.

Berikut kita sebutkan huraiannya secara terperinci, kemudian sebab-sebabnya, dan seterusnya mengusahkan cara untuk mencapai syarat-syarat tersebut:

(1) KEHADIRAN HATI DALAM SEMBAHYANG

Maksudnya ialah agar dapat kita mengosokan hati itu dari segala urusan yang boleh

mengganggu, ataupun yang tak ada sangkut-pautnya dengan ibadat sembahyang yang sedang dikerjakan itu. Maka hendaklah pengetahuannya dengan gerak laku badan dan gerak-geri hati itu bersaingan kedua-duanya sekali; dan jangan sampai pemikirannya berputar kepada selain dari keduanya itu.

(2) MENGERTI BACAAN-BACAAN SEMBAHYANG

Memahami atau mengerti maksud-maksud perbicaraan dalam sembahyang itu adalah menjadi seperkara yang utama dalam kontek menghadirkan hati dalam sembahyang; iaitu hati itu haruslah mengatahui segala yang dibicarakan oleh lidah, kerana sembahyang itu memang mengandungi banyak makna-makna atau maksud-maksud yang halus yang patut dimengertikan oleh seorang dalam sembahyangnya. Dengan itu, barulah sembahyang itu dapat mencegahnya dari melakukan perkara-perkara yang keji atau mungkar.

(3) MEMBESARKAN ALLAH DALAM SEMBAHYANG

Membesarkan Allah di dalam sembahyang akan memberikan pengertian yang

mendalam kepada diri orang yang bersembahyang

Itu, di sebalik menghadirkan hati dan memahamkan bacaan-bacaannya.

(4) MERASAKAN KEHEBATAN ALLAH DALAM SEMBAHYANG

Merasakan kehebatan Allah akan menambahkan lagi kebesaranNya yang dirasakan di

dalam sembahyang, dan ia diibaratkan sebagai ketakutan yang berpunca dari kemaha-agungnya Allah Ta’ala yang disembah ketika itu dan kemaha-tinggianNya.

(5) PENUH HARAPAN

Orang yang melakukan sembahyang itu haruslah mengharapkan pahala yang banyak

dari Allah s.w.t., dan sebaliknya harus pula ia merasa takut dari sikaanNya, yang mungkin ditimpakan oleh Allah ke atasnya disebabkan oleh kecuaiannya.

(6) PERASAAN MALU

Dia juga harus mempunyai perasaan malu terhadap Allah s.w.t., kerana kemungkinan

sekali tanpa disadarinya telah berlaku daripadanya sesuatu kecuaian dalam sembahyang itu, atau sesuatu dosa yang tidak disangka-sangkakannya.

Adapun sebab-sebab pencapaian maksud yang enam di atas tadi ialah:

Pertama: Hendaklah kita mengetahui bahawa yang boleh menyebabkan hati itu hadir ialah kekuatan azam, kerana hati itu sentiasa menurut keazaman kita: Hati tidak akan hadir, melainkan sesudah kita menujukan keazaman kita kepadanya. Jadi bila timbul sesuatu perkara yang menarik perhatian kita, tentulah hati kita akan hadir dan meletakkan perhatiannya kepada perkara itu, sama ada secara sukarela mahupun terpaksa, sebab hati itu diciptakan dalam fitrah yang semacam itu dan ia tetap tertakluk kepadanya.

Jika sekiranya hati itu tiada hadir dalam sembahyang, tentulah ia tidak akan berdiam diri begitu saja, bahkan ia akan berkeliaran ke sana ke mari menunjukan perhatiannya kepada hal-ehwal keduniaan. Oleh itu, tiada jalan lain atau tiada penawar untuk menghadirkan hati itu, melainkan dengan menumpukan segala perhatian kita kepada sembahyang semata-mata. Dan perhatian kita itu tidak akan dapat dihadapkan sepenuhnya kepada sembahyang, selagi belum ternyata atau terbukti bahawa hati yang dituntut itu sepenuhnya bergantung kepada sembahyang. Yang demikian itu dapat dicapai melalui keimanan dan keyakinan yang menetapkan, bahawa akhirat itu adalah lebih baik dan lebih kekal, dan bahawasanya sembahyang pula adalah sebagai suatu wasilah atau jalan untuk mencapai kebahagiaan itu disana.

Kedua: Memahamkan bacaan, iaitu sebabnya sesudah menghadirkan hati, ialah menetapkan dan memusatkan akal fikiran untuk menangkap maksud dari segala pertuturan dalam sembahyang. Penawarnya adalah seperti yang tersebut di atas tadi serta menumpukan fikiran dan menyediakannya untuk menolak segala yang mungkin mengacaunya, dan cara menolaknya ialah dengan menolak punca-puncanya; yakni pokok-pokok bagi sebab-sebab yang boleh mempengaruhi akal fikiran dan mengajaknya untuk berfikir-fikir.

Ketiga: Membesarkan atau memuliakan Allah dalam sembahyang, dan yang demikian itu harus datangnya dari hati dengan dua cara:

(1) Mengenal kebesaran Allah azzawajalla dan keagunganNya dan ini adalah dari asal-usul keimanan.

(2) Mengenal kerendahan jiwa dan kehinaannya serta keadaannya sebagai seorang hamba yang tertakluk dan bertuhankan Allah yang Maha Agung.

Pengenalan terhadap kedua-dua cara ini haruslah berterusan sehingga timbul ketenangan, kerendahan hati dan seterusnya kekhusyu’an terhadap Allah s.w.t., maka ketika itulah baru kita kenal pengertian membesarkan Allah dengan penuh kesempurnaan.

Keempat: Adapun merasakan kehebatan atau ketakutan itu adalah keadaan yang harus disifati oleh jiwa yang akan timbul sesudah mengenal akan kekuasaan Allah dan kesanggupanNya, lalu melaksanakan kehendakanNya tampa campur tangan dari kuasa-kuasa yang lain, Jika sekiranya Allah memusnahkan yang awal (terdahulu) semua sekali dan yang akhir (terkebelakang) semua sekali, maka tiadalah akan berkurangan dari kerajaanNya sesuatu sebesar zarrah (atom) pun. Oleh sebab itulah apabila bertambah ilmu kita mengenai Allah, akan bertambah pulalah ketakutan dan kehebatan perasaan kita terhadapNya.

Kelima: Adapun pengharapan, maka sebabnya ialah pengenalan kita kepada belas kasihan Allah s.w.t. dan rahmatNya, serta segala kenikmatan dan kemaha-halusan penciptaanNya. Begitu pula dengan menyakinkan kebenaran janjiNya dengan balasan syurga bagi orang yang melakukan sembahyang. Apabila telah muncul keyakinan dalam hati tentang segala janji-janji Allah, dan muncul sama pengenalan tentang belas kasihanNya, niscaya tidak syak lagi akan timbullah kesan dari kedua-duanya tadi hakikat pengharapan.

Keenam: Akhir sekali perasaan malu, dan dengan adanya sifat malu itu dalam diri, akan teringatlah kita akan kecuaian kita dalam menjalankan ibadat serta mengatahui, bahawa kita ini memang tidak mampu untuk mendirikan semua hak-hak Allah Azzawajalla. Perasaan serupa itu akan menolong kita untuk mengingat tentang keaiban-keaiban diri dan dan kecelaannya, ketidak-iklasan diri dan kecenderungannya kepada balasan-balasan yang kontan dalam segala amal perbuatannya, padahal kita mengatahui tentang kebesaran apa yang bakal ditentukan oleh Allah yang Maha Mulia (yakni dari balasan terkemudian). Dan hendaklah kita menyakini, bahawa Allah Azzawajalla itu mengetahui dan menyingkap segala rahsia dan gerak-geri hati meskipun ia terlalu kecil atau masih samar-samar.

Semua makrifat-makrifat ini bila ditemui dengan keyakinan akan terpancarlah daripadanya, tidak syak lagi, suatu keadaan atau perasaan yang dinamakan perasaan malu terhadap Allah Azzawajalla.

Sekianlah sebab-sebab bagi semua sifat-sifat yang disebutkan di atas tadi. Setiap yang hendak dicari huraiannya, terlebih dulu hendaklah diterangkan sebab-sebabnya, kerana setelah mengenal sebab-musababnya dapatlah pula mengenal ubat dan penawarnya. Manakala ikataan bagi semua sebab-sebab ini ialah keimanan kepada Allah Azzawajalla dan keyakinan terhadapNya.

Penawar berguna untuk menghadirkan hati

Ketahuilah, bahawa setiap orang Mu’min itu wajib memuliakan Allah azzawajalla, takut hanya kepadaNya, berharap hanya daripadaNya, dan sentiasa pula merasa malu terhadap segala kelalaian yang timbul tersebab dari perilakunya terhadap Allah s.w.t. Semua perkara-perkara yang tersebut ini haruslah tidak terlepas dari ingatannya, sesudah ada penuh keyakinan terhadap Allah s.w.t., sekalipun kekuatan ingatan itu setanding dengan kadar kekuatan keyakinannya. Sebab terhindarnya sesuatu sembahyang dari ingatan kepada perkara-perkara tersebut, tiada lain melainkan disebabkan oleh fikiran yang bercabang-cabang, terganggunya hati dan ketidak hadirannya dalam bermunajat, berarti kelalaian dalam sembahyang. Dan tiada yang menjauhkan kita dari sembahyang yang sempurna, melainkan kerana terlalu banyak fikiran yang datang menggangu dan mengacau. Penawar dalam menghadirkan hati ialah menolak semua fikiran-fikiran tersebut, dan sesuatu perkara itu tidak akan tertolak melainkan dengan menolak sebabnya, maka hendaklah anda mencari sebabnya dan mengetahui.

Adapun sebab-sebab kemunculannya fikiran-fikiran yang tidak menentu dalam sesuatu sembahyang itu, ialah sama ada merupakan perkara dari luar ataupun perkara dari dalam. Perkara-perkara dari luar; iaitu seperti sesuatu yang didengar oleh telinga, ataupun dilihat oleh mata. Hal serupa ini boleh menarik perhatian kita kepadanya, lalu perasaan kita pun tertumpu kepadanya dan terpengaruh dengannya. Dari situ kita boleh dibawanya dari suatu fikiran kepada fikiran yang lain, sampai bercabang-cabang pula fikiran kita. Pada ketika itu semua yang kita lihat di hadapan kita akan menjadi sebab pemikiran.

Orang yang kukuh niatnya dan kuat keazamannya tidak akan dilalaikan oleh segala sesuatu yang bermain pada pancainderanya. Akan tetapi si lemah tentu sekali pancainderanya akan membawanya menggembara kepada berbagai-bagai pemikiran ketika itu.

Penawar kepada penyakit ini ialah dengan memutuskan pemikirannya dari segala sebab-sebab ini; iaitu dengan menutup matanya terlebih dulu, kemudian bersungguh-sungguh mencuba meletakkan ke belakang semua yang mungkin mengganggu pancainderanya. Seterusnya, dia mencari tempat yang berdekatan dengan tembok, supaya dalam sembahyang nanti ruangan di hadapanya tidak terlalu lapang untuk dilihat oleh matanya. Dan hendaklah dia menjauhkan diri dari menunaikan sembahyang di jalan-jalan raya, yakni di tempat-tempat lalulintas orang ramai, ataupun di tempat-tempat yang berlukisan, atau tikar-tikar yang penuh dengan gambar-gambar dan warna-warni, kerana kesemuanya itu boleh menyebabkan kelalaian dalam sembahyang.

Adapun sebab-sebab kebatinan pula, maka yang demikian itu adalah lebih hebat lagi. Orang yang bercabang-cabang perhatiannaya dalam persoalan-persoalan keduniaan tentu sekali pemikirannya tidak tetap setempat, ataupun menumpu kepada sesuatu perkara yang tertentu, malah ia akan mengembara dari satu tempat ke tempat yang lain. Cara untuk mengekang pemikiran-pemikiran ini dari berlaku, ialah dengan memaksa diri untuk memahami, atau mengikuti makna-makna bacaan yang dibacanya di dalam sembanyang dan melarang diri dari mengingati perkara-perkara yang lain dari itu. Untuk membantu melaksanakan cara ini, seseorang yang ingin bersembahyang hendaklah bersiap sedia sebelum bertakbir, lalu memperbaharui ingatannya tentang hari akhirat dan tempat bermunajat itu serta bahayanya keadaan ketika itu. Sebab ia sedang berhadapan muka dengan Allah s.w.t. Dan Allah dapat menyingkap segala rahsianya pada masa itu. Sebelum mengangkat takbir, hendaklah ia menumpukan segala perhatian dan hatinya kepada sembahyang saja, dan jangan sampai ditinggalkan suatu tempat pun dalam hatinya itu untuk dipengaruhi oleh perkara-perkara selainnya.

Apabila gelombang pemikirannya masih belum lagi dapat disembuhkan oleh ubat yang seharusnya boleh mentenangkannya, maka hendaklah ia mendapatkan ubat pembersih yang boleh melenyapkn pangkal penyakit yang bersarang di dalam dasar urat sarafnya. Haruslah ia segera memperhatikan apa-apakah yang memalingkan dirinya dari kehadiran hati tadi. Tidak syak lagi, sesudah itu, akal fikiran itu akan kembali kepada tugasnya, dan ketahuilah ia bahawa pemesongan yang berlaku tadi tiada lain, melainkan disebabkan oleh gejala-gejala syahwat. Maka ia pun segeralah mengutuk dirinya dengan mencabut segala syahwat-syahwat itu dari dalam dirinya serta memutuskan semua perhubungan diri dengan syahwat-syahwat itu.

Ada sebuah riwayat yang diceritakan dari Rasulullah s.a.w. bahawa baginda pernah memakai baju bersulam yang diberikan kepadanya oleh Abu Juhum, lalu baginda bersembahyang, sebaik-baik selesai saja bersembahyang, segeralah baginda menanggalkannya pula seraya bersabda: Kembalikanlah baju ini kepada Abu Juhum sebab ia melenakan saya dalam sembahyang tadi, dan tukarkanlah dia dengan baju biasanya saja (yakni yang tiada bersulam).